Labels

Sunday, 18 November 2012

DI BALIK RUNTUHAN ITU



Di balik runtuhan itu ….
Ada tangisan yang menikam kalbu
Ada sendu yang menggigit hati
Penuh duka mengikat sengketa
Dalam cengkaman jari tanpa upaya

Kerna dia tahu
Bukan itu pintanya
Bukan lawan tandingannya
Tewas dalam menerima rasa
Bukan bererti selama-lamanya

Akur diri hanya hamba
Diatur garis-garis qadha dan qadhar

Tangisannya kering dihembus angin petang
Membawa kenangan hitam yang berlalu
Bersama tawa ria sesiapa tanpa jiwa
Tak pernah mengerti erti derita dan siksa
Yang telah mengejutkan diriku dari mimpi
Kehidupan yang bagaikan bernoktah

Di balik runtuhan itu …
Masih ada semangat dan jiwa
Juang tak pernah terpadam
Bukan tanda tewas melainkan mengganas
Membakar obor pecinta cita
Kerana cinta tak pernah padam

Tuhan masih bersama
Menggerakkan nadi dan suara
Mencari-cari hati yang meminta
Segenap ceruk bandar dan desa

Janji tetap janji
Pasti ditepati
Walau perit dan duka
Hati dan langkah ini belum tergoyah

Tuhan tahu …
Aku pun tahu …
Saudaraku sedang menanti
Pun tahu …

Nukilan
SuaraSenyap
17.11.2012

AKU TAHU …. BUKAN KAMU




Bibit-bibit kasih dan sayang
Tak perlu kau hurai maupun kau lakar
Dicelah awan dibalik pelangi
Jauh di ufuk senja mau pun di rembang mentari

Genggam erat jejarimu
Penuh erti hati berpaut
Dalam kasih murni tersimpul
Hadir di balik senyum menguntum
Bahkan aroma kasih mu ku hidu sejak semalam

Namun aku mengerti
Kau keliru antara dua
Yang terahsia hanya kau jua merahsia
Hingga jelas langkah tapakmu
Bukan kau sebenarnya
Mengikat langkah itu
Hanya siluman yang tersembunyi
Menagih darah membunuh bahagia
Menikam dalam sedar atau tak disangka

Kau hanya mampu memandang
Kerna dirinya telah sebati dalam dirimu
Tanpa kau sedar dia adalah kamu
Kerna zikir mu telah lama kau henti
Membiarkan bermakna menzalimi
Hingga aku terpaksa kau korbankan

Aku mengerti ….
Semua jangkaan telah hadir menyata
Saka menyusup tuntutan mengikat
Janji mu telah bercampur bahaya
Adakah mati menjelma hidup disangka pula

Aku simpati dengan nasibmu
Penjara diri kerana hati
Dunia dalam mimpi neraka menanti
Apakah kau takut jatuh sendiri?
Atau kau redha pewarismu sengsara?

Insaflah wahai saudaraku…
Masih ada masa kembali
Bertaubat sucikan diri
Sebelum menghadap Ilahi


Nukilan
SuaraSenyap

16.11.2012

Sunday, 30 September 2012

SEKALI LAGI PINTA KU ….



Sabar sayang ….
Bukan kita upaya mengoyak taqdir ini
Bukan tangan itu menyusun warna-warna kehidupan kita
Bukan luka yang memedihkan belahannya
Bukan duka menutup aroma bahagia
Bukan godaan penentu cabarannya
Bukan kenangan pengukur masa dan ketika
Bukan cahaya menzahir jelas warna
Bukan …
Bukan
Bukan semuanya

Anggaplah ….
Fana dunia belaka
Terima, redha seadanya
Walau kau tak dapat mengerti
Erti buih dalam lipatan ombak berseni
Namun cukuplah
Untuk kau ucapkan …
Kau tanamkan di hatimu

Alhamdulillah

Nukilan
SuaraSenyap
30.9.2012

MUNAJATMU MASIH PENUH DARAH



Bila suara itu merintih
Merayu
Memohon kurnia Ilahi

Ada rasa membuai mimpi
Ada impi mencarik taqdir Ilahi
Ada hati menggapai cinta
Ada diri yang bagai berkuasa

Suara munajat menjelma kembali
Lembut halus menahan sebak hati
Menyusun tutur
Membisik duka hati penuh luka
Menggamit jiwa merasa dunia
Masih sedar dirinya
Tetap ada cita menongkah tirai taqdir terpatri

Hanyut suara munajat
Membangun malam dengan suaranya
Bagai menyusun duka
Yang mencengkam jiwa merana
Punah mimpi dalam impi
Hancur buai dalam hasrat
Tanpa mengerti antara perintah
Rasa jadi raja
Duka jadi nestapa
Kecewa jadi ukuran
Tenang jadi impian
Juang pasti dilupakan
Redha jadi kosong belaka

Bukan itu maksudnya
Matlamat hati bertaut nilai memaham
Diri wujud masih berdosa
Antara terperi dan terdiri

Adakah mengerti?
Siapa yang menjadikannya …..

Nukilan
SuaraSenyap
30.9.2012

TANGISAN ITU DARIMU



Tak perlu dihurai
Tak perlu diperjelas

Mungkin kau sendiri mengerti
Bibit-bibit duka itu
Menggigit hati kecilmu
Sentap jantung hati menahan
Sebu jiwa menahan rasa
Getar hati mewarna rentaknya
Panah silau mata pudar cahayanya

Longlai kaki melangkah
Serba salah membina masalah
Jawapan hampir terpunah

Akibat bukan jawapan sudah
Menyesal penyudah masa beredar
Kecewa belum pasti mudah
Hancur luluh jiwa menahan
Pun belum memancar warna gemilang jiwa

Tetap titik itu bergerak dijalur taqdir
Bukan tangan itu yang mampu menahan
Suratan bukan tuduhan cakapan
Sindiran bahaya dalam pengertian
Luntur jiwa kosong belaka
Diri yang luluh bagai lilin tersentuh api

Jika suara itu bernyanyi
Adakah empunya benar-benar mengerti
Bijaksananya tuhan mengatur alam ini
Bukan tuduhan mampu memekakkan suara itu

Suara tangisan itu ….
Dari hatimu
Yang jahil dan tak pernah mengerti

Cukuplah untuk kau ….
Akui
Dirimu yang lemah


Nukilan
SuaraSenyap

30.9.2012

Thursday, 27 September 2012

KENAPA MASIH PERCAYA?



Kenapa masih percaya?
Kepada sang pedusta
Yang menjanjikan bulan dan bintang
Yang indah bicara tiada laksana
Yang menghambur hebat diri semata
Yang menuduh manusia lain celaka
Yang bergerak mulutnya bohong belaka
Yang mengolah mimpi merosak bangsa
Yang menjalin kasih penuh durjana
Yang guna anak bangsa menghina negara
Yang punya cita-cita Putra Jaya semata
Mengguna kuasa menutub aibnya
Yang tuduh kronisma nyata dirinya
Yang menutup rahsia guna fatwa kehendaknya
Yang berselindung disebalik suara rakyat katanya
Yang menyanggah raja dengan muslihatnya
Yang membuka Negara terus di hina
Yang tak mahu bersumpah bagai sesumpah
Yang berhimpun membela terbukti fitnahnya
Yang bermain muslihat putar belit segala
Yang berfikir faham siapa dia
Yang terpengaruh fikir-fikirlah

Menipu itu kan sifat munafik
Jangan diangkat dia
Cukuplah …..
Jangan percaya lagi
Khayalannya …..

 Nukilan
SuaraSenyap
23.9.2012

Tuesday, 25 September 2012

MUNGKINKAH SEMALAM LEBIH INDAH?


Ah …..
Semalam adalah saat aku bersamamu
Mengorak langkah mendamai jiwa
Mengejar ombak melakar pelangi
Mengutip pasir membina mimpi
Bukankah itu indah?

Semalam kau sambut tangan ini
Menggenggam mesra dalam dakapan duka
Mencurah kasih tertumpah dengan setia
Ucap kata cinta khayal pujangga mimpi
Indah persi mimpi dalam mimpi

Semalam ada badai menganggu mu
Merintih merayu mohon simpati
Mengharap damai tenang dalam gumpalan darah bernoktah
Apakah kau lupa saat dunia menghancurkan mimpi mu?
Adakah mungkin semalam itu indah

Hahahahahaha …..
Semalam kau kenangkan mungkin indah
Namun dilupakan lebih indah jika dijelmakan

Adakah kau masih bermimpi?
Semalam telah berlalu pergi
Hanya seketika bukan pengukur waktu lagi
Bagai kenangan sukar dihadirkan lagi
Namun aku mengerti jika kau katakan indah

Semalam telah lama didahului oleh hari-hari lalu
Hari ini akan menjadi semalam untuk esoknya
Rantaian masa tak lagi terhenti
Datang dan pergi lagi

Ya ….. memang aku akui semalam memang indah
Kenangan itu …..

Nukilan
SuaraSenyap
25.9.2012

MUNGKIN UNTUK MU


Kata hati cukup mengerti
Seberat mana rasa
Seperit mata derita
Seindah mana kata
Sedalam mana seloka
Seunik mana arca
Secantik mana bahasa
Sesulit mana rahsia
Sekukuh mana cinta
Sehebat mana cinta
Sedalam mana harapannya
Sekuat mana janji setia
Seriuh mana semangatnya
Semerdu mana suara menggoda
Seelok mana langkah tarinya
Setajam mata akal dan minda
Serapat mana taulan rapit ibaratnya
Sesempurna mana syahadahnya
Sesetia mana janji baiah ijazah akuannya
Secinta mana ……..

Kau mengerti kan maksudku
Adakah kau jujur dengan dirimu
Dengan mereka yang kau berjanji

Dengan tuhan mu
Dengan rasul mu
Dengan ibu bapa mu
Dengan isteri, kekasih buah hatimu
Dengan zuriat kerabatmu
Dengan orang di bawahmu
Dengan umat seagama.sebangsa mu
Dengan watan kakimu berpijak
Dengan alam pengukir gambaran

Dengan  …… yang terkait dalam sanubari mu

Harap kau mengerti

Nukilan
SuaraSenyap
24.9.2012

MUSAFIR ITU ADALAH AKU


Di hujung sana
Aku melangkah denai-denai kehidupan
Lorong-lorong penuh ranjau duri
Onak jua menawan kaki ini
Bumi turut membalut warna juraian waktu dan masa

Perjalanan itu masih jauh
Namun persinggahan di dunia ini sementara sahaja
Ada cubaan dan dugaan
Menimbang bekal kurnia yang akan disandang

Namun di mana diri yang bermusafir?
Mata terpaku dengan indahnya pandangan
Pendengaran terganggu deng asyiknya irama mengkhayalkan
Kaki dirantai dengan langkah yang tiada henti
Tangan mengampai huluran demi huluran yang menggoda diri
Hati terpaku menatap lazat dunia ini
Akal terhadang dengan nyata dan mimpi

Musafir tak pernah terhenti
Juraian hujan tak pernah tersekat menyembah bumi
Angin lalu takkan indah tanpa sepoi-sepoinya
Malam siang berganti langkah musafir pergi
Kerana musafir itu tidak bertempat
Musafir jua kan kesepian membawa diri itu
Menjamah seketika titip-titip waktu tanpa henti
Walau tujuh pancaindera punya rasa  sempurna
Yang satu tersembunyi dalam rahsia penuh rahsia

Musafir itu buta,bisu,tempang dan dungu
Musafir itu adalah aku
Hamba hina jahil,miskin,dhoif semata

Nukilan
SuaraSenyap
25.9.2012

Monday, 17 September 2012

KETAKSUBAN PARTI PAS

Saya ada mengumpulkan beberapa kisah ketaksuban pengikut PAS sehingga membawa beberapa sikap yang sangat-sangat tidak wajar yang patut dilakukan oleh seorang Islam

KISAH PERTAMA

Satu hari saya berziarah ke rumah rakan di kawasan utara semenanjung.Beliau seorang ustaz dan mungkin kini telah menjawat jawatan yang baik samada di Jabatan Agama Islam atau sekolah swasta.Wallahu a`klam.

Sampai di rumahnya saya disambut baik oleh keluarganya dan kami berbual panjang berkaitan pelbagai hal kehidupan.Jam hampir pukul 1.00 tengahari.Kebetulan hari saya berziarah itu hari Jumaat.Saya pun meminta izin daripada ayahnya untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat.Dia senyum dan berkata,

"Pergilah kamu ke masjid.Pak cik tak pergi.Imam UMNO."

Saya terdiam dan terus berjalan kaki bersama sahabat saya itu ke masjid.Sepanjang perjalanan ustaz itu menceritakan bahawa ayahnya sudah 30 tahun tak pergi solat Jumaat di masjid.Dia tetap mengatakan bahawa solat berimamkan orang UMNO tidak sah.Dan lebih rela tak solat Jumaat.

Hati saya tertanya, mengapa sampai jadi begitu.Dan saya hairan mengapa sahabat saya tak memujuk atau menasihatkannya pula.Wallahu aklam.

Peristiwa ini berlaku lebi 10 tahu lalu.Saya pun tak pasti adakah ayah sahabat saya itu sudah kembali menunaikan solat Jumaat di masjid.Dan saya pun tak pasti adakah sahabat saya masih lagi pengikut PAS  tegar lagi.

KISAH 2

Satu hari saya berziarah dengan seorang tua yang mungkin berumur lebih 70 tahun.Saya berbual panjang dan sampai bab menunaikan haji ke Mekah.Dia mulai tampak marah dan terus menunaikan haji mengikut jalan Tabung Haji tidak sah.Bahkan jalan menggunakan tabung haji katanya ikut jalan yahudi.Dia sanggup tak menunaikan haji dengan alasan Tabung Haji adalah badan yang dianjurkan oleh kerajaan UMNO/BN.

Umurnya semakin tua dan beberapa tahun kemudian beliau meninggal dunia dengan tidak menunaikan haji.Ketaksubannya telah menyebabkan beliau terlepas peluang itu selam-lamanya.

KISAH 3

Seorang tua kepingin menunaikan haji.Tapi dek kerana terpengaruh dengan ceramah PAS dan ustaz-ustaz PAS beliau sanggup mengeluarkan banyak belanja untuk menunaikan haji melalui swasta.Sebuah syarikat yang pro pembangkang dan dikelola oleh ustaz PAS telah mengumpulkan beberapa puluh orang pun bersiap sedia berkumpul di Kuala Lumpur untuk berlepas ke tanah suci.

Amat malang syarikat tersebut tidak dapat menyediakan tempat untuk berlepas ke sana.Bahkan semua rayuan untuk ke sana gagal.Setelah selesai musim haji pak cik tadi pulang ke kampung halaman.Sebenarnya beliau tak dapat pun pergi ke Mekah.Bahkan wang tambang ke Mekah telah disonglap oleh pihak syarikat.

Dikampung beliau berlagak bagai orang yang telah ke Mekah.Sebenarnya beliau hanya berada di Kuala Lumpur beberapa hari sahaja.Beliau juga tetap tidak mahu menunaikan haji dengan Tabung Haji atas alasan Tabung Haji anjuran UMNO/BN.Bahkan menyamakan sebagai jalan yahudi.

Kesian pak cik tersebut hingga akhir hayat juga tak dapat juga menunaikan haji.Tetapi di kampung tetap mengaku sudah pergi haji.

KISAH 4

Seorang ustaz mengatakan bahawa menyokong UMNO bererti menyokong kafir.UMNO dianggap sebagai lebih jahat daripada yahudi.Beliau juga mengatakan ada kawan-kawannya mempertikaikan cara bawaan UMNO bahkan mengkaji agama orang UMNO sendiri.

Ustaz ini mengatakan 15 tahun dulu.Bahkan hingga kini pengikut-pengikut PAS tetap berpendirian bahawa Islam UMNO diragui.Sebab itu merek tetap tidak pernah menarik balik hukum tersebut dan sanggup khianat dengan orang yang mirip kepada UMNO.Lebih-lebih lagi kalau orang itu ustaz.

Tetapi yang anihnya ustaz tersebut kerja kerajaan.Terima pulak amanah daripada kerajaan yang mereka anggap kafir itu.Ramai ustaz-ustaz sebegini di Jabatan Agama,Jabatan Pelajaran dll.

Yang nyata, mereka ibarat memamah lidah sendiri,hukum diri jerat terkunci.

Jujurkah mereka ini kepada Allah dan umat Islam?

Tuesday, 28 August 2012

ADIK NAK DENGAR CERITA TAK?

Adik nak dengar cerita tak?    

Cerita abang ....
Dulu hidup keluarga kita susah
Lampu elektrik tak ada cuma pelita
Lampu gasolin kira kaya
Baju koyak jahit merata
Makan cuma sekadar jua
Pergi sekolah kadang berselipar atau kasut plastik cuma
Main getah,guli dan tarik seludang kelapa
Menangguk ikan sepat di sawah
Goreng makan sekeluarga

Cerita ayah ...
Dulu hidup ayah sekadar cuma
Lantai buluh tiang rumbia
Atap nipah penyejuk bahagia
Bersawah semusim makan sekeluarga
Zaman jepun ubi kayu makanan utama
Hidup derita bangsa dihina
Tak ada sesuatu yang boleh dibangga
Berjalan kaki kemana sahaja
Ke kota dan desa ....
Makan masa berhari sampainya

Cerita datuk ....
Hidup membuka hutan belantara
Membangun tanah membina bahagia
Bangsa Inggeris macam raja
Orang Melayu bangsa terhina
Pejuang kita mati terhina
Harga derita belum terbayar
Hanya sejarah menjadi saksi
Namun hati adakah mengerti?

Cerita moyang ....
Mungkin musafir jalan utama
Jelajah bumi tuhan yang esa
Dari jauh harap bahagia
Jawa,Banjar,Bugis,India,Cina dan sebagainya ...
Meredah lautan mungkin ada yang berenang cuma
Tanah Bertuah Semenanjung Emas
Tertulis di Azali zuriat ditumpah

Adik ....
Hidup bahagia selengkapnya
Ada kesenangan sejarah jangan dilupa
Kami pernah lalu derita
Mengharap sinar bahagia juga keturunan kita

Jangan lupa ....
Jangan lupa ...
Jangan lupa ...

Bahagia selesa mungkin memlalaikan kita
Tanah bertuah perlu di bela
Takkan nak mulakan tapak seperti mula
Sayangkan watan bumi bertuah
Harmoni sejahtera gemilang sentiasa

Nukilan
SuaraSenyap
28.8.2012

(Segala nikmat kesenangan perlu disyukuri.Jangan abaikan nikmat ini dan lupakan sejarah abang,ayah,datuk dan moyang kita dahulu)

Sunday, 26 August 2012

SOKONG SIAPA?

Yang tolongkah?
Yang janji?

Yang tolong dah banyak bagi
Yang janji belum kasi

Yang tolong laksanakan rancangan
Yang bagi penuh perancangan

Yang janji sering menakutkan
Tak tunai banyak sangat alasan
Tak jadi persalah orang lain
Mengutuk tanpa alasan

Tunjuk hebat dengan janji
Janji palsu ditabur merata negeri
Tunjuk hebat hanya dengan kata-kata
Duit dikutip alasan fi sabilullah
Namun hilang tak terjawap

Yang tolong memberi tiada henti
Yang janji hina hukum haram sesuka hati
Pasal duit cepat ambil dulu
Muka tak malu hukum jatuh kepala sendiri

Banyak sungguh janji mereka tapi janji palsu
Yang memberi tak pernah jemu
Demi rakyat sejahtera negara
Sejahtera Malaysia negara tercinta

Yang janji bermain dengan lidahnya
Hati busuk mengutuk menghina
Mana pergi janji yang dikata
Ditelan arus zaman tanpa rasa berdosa
Munafik agaknya tapi hukum di tala ke orang lain

Nilaikan kembali ....
Yang janji jujurkah dia?
Banyakkah janjinya?
Ingatkah janji mereka?

Yang memberi ...
Banyakkah manafaatnya?
Sebutkan manafaatnya ...
Pasti anda akan merasa tuahnya ...
Alhamdulillah ....


Nukilan
SuaraSenyap
26.8.2012

Friday, 24 August 2012

APA ADA PADA DIA?

Entah lah ....
Apa ada pada dia?
Aku tak pernah mengerti
Rasa mengamit hati
Idaman jiwa penambat kalbu

Mungkin dia pilihan
Yang hadir untuk didekati
Namun dalam alisnya
Penuh racun berbisa
Membunuh seribu nyawa
Membakar nafsu serakah
Yang menutup kota itu

Hiasan belaka
Janji tuhan tak pernah lupa
Dihias tampak bahagia
Namun sia-sia
Namun indah dipandang mata
Siksa menanti pula

Dia bukan yang dinanti ...
Cuma hal mainan tarian dunia
Mengamit rasa
Mengamit alpa

Mereka katanya ...
Dipersalah

Kenapa pula?
Sungai-sungai itu kan lebih nyata
Dibawahnya ...

Bikin sengsara gumpalan awan
Yang dia bawakan
Hanya limpahan warna
Corak permainan

Oh .... siapa dia?

Mungkin aku ....

Nukilan
SuaraSenyap
28.8.2012

Thursday, 23 August 2012

MASA YANG DILUPAKAN ..

Satu masa dulu  
Ada duka
Ada luka
Penuh derita
Hidup sengsara
Terjajah minda
Terikat sejahtera
Di hatimu
Di bumi bertuah ini

Namun kini
Rasanya berbeza
Mungkin merdeka
Atau bebas

Dalam rasakah atau kata?

Segalanya telah lama berlalu
Titis darah telah lama hilang
Dimakan zaman yang berlari
Menuju adun warna hidup ini

Masih ingat lagikah masa lalu?
Yang telah kau lupakan
Mungkin jua mereka
Kerana sedang bahagia dan  selesa
Lupa saat-saat derita itu

Masih ingatkah wajah-wajah itu?
Penuh duri yang terlekat dihati
Atau rasa perit menikam kalbu
Puji hanya bagaikan rasa berlalu
Syukur hanya menghias adabmu

Mungkin kau telah lupa
Atau melupakannya
Atau mereka sengaja nak melupakannya
Mungkin jua kau tak tahu apa yang kau lupa itu

Tanyalah mereka yang terlupa masa itu
Masih lupa lagi yang dilupakan .....


Nukilan
SuaraSenyap
24/8/2012

BILA MEREKA KEMBALI

Ada yang telah kembali
Hilang bagai tiada lagi
Terlipat dalam kenangan sejarah
Mungkin dikenang atau dilupai

Pergi ...
Tak kembali
Mungkin masa nyata tak terhenti
Ajal yang menanti
Ajal jua mencari
Ajal pasti menemui
Tetap hilang bagai mimpi

Namun diri
Tetap tak menyedari
Hadirnya masa yang dinanti
Pasti akan terjadi
Penuh liku namun ....
Pergi tetap pergi

Kau pun tahu ...
Masa itu kan tiba
Bukan cerita jenaka
Pergi ke satu alam yang mungkin kau tak mengerti
Yang kita tahu amat menaakutkan
Mungkin...

Kau pura-pura tak tahu?
Ya .. masih  indah hidup kau rasa
Masih cinta  dunia segala
Masih kuat mengambil mutiaranya

Kan semua kau akaa tinggalkan
Berda di kamar yang sempit
Lalu kau hilang entah kemana
Lebih dari setiitis asap di angin lalu

Kau masih ketawa
Cerita nyata pasti berlaku
Disambut tangisan perpisahan
Mungkin kehilangan atau  perasaan

Bila hilang rindunya
Kau tak kenang jua ....

Nukilan
SuaraSenyap
24.8.2012

Wednesday, 22 August 2012

SALAM UNTUK SAUDARAKU

Engkau bagaikan tahu
Saat akan berpisah dengan kami
Tanggal 22.8.2012
Tarikh yang pasti telah tertulis di azali

Aku jua tak mengerti
Mengapa hari raya tadi kau sibuk mencari
Saudara-saudaramu
Mohon restu dan redha
Rela merelai

Pandangan mu
Tunduk ke bumi
Bagai ada gusar di hati
Rpa ajal mu sedang menanti

Saudaraku ....
Hari ini kita berpisah
Antara hidup dan mati
Tangisan jua tak dapat menghalang
Pemergianmu ...

Walau rakan taulan
Bagai terjaga dari mimpi
Tetap kau menyusul tangan Izrail
Menuju Ilahi

Untukmu saudaraku
Mudah-mudahan engkau diampunkan
Dirahmati di alam kubur
Mendapat kurnia tuhan
Yang tak pernah kekeringan

Aku jua akan menyusulmu
Kau pasti dapat bertemu
Saudara-saudara kita terdahulu
Sampaikan salamku untuk mereka

Malam ini .....
Malam pertamamu di alam kubur

Maafkan daku saudaraku

Nukilan
SuaraSenyap
22.8.2012

(Puisi ini dinukil bagi mengenang saudaraku yg meninggal dunia hari ini.Al Fatehah untuk beliau.Amin)

TITIK HUJAN DI HUJUNG DAUN



Hujan kian lebat
Membawa seribu kenangan silam


Berlalu bersama deru angin
Memisah antara rindu dan sepi
Memaut jamahan lembut sang kekasih
Yang sentiasa merindui ...

Pabila hujan telah reda
Merubah tanah di bumi gersang ini
Dengan seribu kesegaran aroma menawan
Memukau sang petani
Memberi seribu harapan pada yang menanti

Namun titik-titik hujan
Yang masih dihujung dedaun
Tak pernah dipeduli
Walau indahnya bagai permata delima
Meraut warna-warna pelangi
Menanti untuk jatu ke bumi
Namu teguh memegang erat hujung daun 
Dengan bangga jiwa pejuang

Ah ......
Sekadar titik hujan
Takkan memberi makna dek tasik yang bangga
Menjajah tanah bumi buana
Menguji paku bumi dunia

Titi hujan tetap berbangga
Walau hanya sekadar setitik
Titik maknawi membawa erti
Bagi insan yang memahami



Betapa ....
Setitik air hujan di hujung daun
Tetap indah membangun seluruh alam ini

Titik .....
Titik Hujan
..............



Nukilan 
SuaraSenyap
22.8.2012

Monday, 20 August 2012

ANAK KECIL ITU ...



Anak kecil itu ....  
Tak mengerti apa-apa
Hanya tangis meruntun jiwa
Jerit menghias suaranya

Anak kecil ini
Dipijak oleh musuhnya
Bangsa yang bongkak mendabik dada
Bersangka bangsanya termulia

Anak kecil ini
Tabah dan tenang menghadapinya
Kekejaman bangsa yang bongkak
Merampas tanak pusakanya

Anak kecil ini
Tak takut menghadap tuhan yang esa
Walau muncung senjata menghadap kepalanya
Cukup hanya berserah ...

Anak kecil ini
Tetap memegang buku ditangan
Cinta ilmu pengetahuan dan kedamaian
Mungkin baru kembali dari sekolah
Atau menuju ke ruang yang bermakna

Kakaknya hanya mampu melihat saja
Memegang kepala tanda kecewa
Tak mampu menentang soldadu itu
Hanya tangis menghias wajahnya

Namun suara mereka tak amat perlahan
Tak kedengaran diruang hati
Tanda simpai sedikit menyepi
Hanya berserah kepada Ilahi

Saudaraku....
Engkau sangat beruntung
Tanah damai menyambut diri
Namun hati-hati ...
Ada jua bebayang tangan yang tak kau sedari
Sedang bermain muslihat pawani

Kenangkan lah nak ini ...
Bagai anakmu jua

Nukilan
SuaraSenyap
21.8.2012

(Sumbangkanlah untuk rakyat Palestin yang masih lagi tersiksa oleh regim Zionis.Walaupun sekadar doa sekalipun)

Tun Dr Mahathir - Perjuangan Yang Belum Selesai - KU SAMBUT SALAM PERJUANGAN INI




KU SAMBUT SALAM PERJUANGAN INI

Benar ....
Perjuangan belum selesai
Tak pernah selesai
Perlu diteruskan

Wahai bangsaku
Ingat lah jangan sengketa
Tangan rapuh kan bisa terungkai

Wahai bangsaku
Jangan lah malas
Malas membina mimpi
Mencabut realiti

Wahai bangsaku
Dengarkanlah suara sebak itu
Dari hati seorang yang sayang bangsa
Yang sedih dengan umatnya

Wahai bangsaku
Lihat tangan ibu itu
Mengusap belakang suami dengan kasih sayang
Menyokong padu suara gementar
Menyeru engkau bangsaku

Wahai bangsaku
Hayatilah ungkapan bait-bait puisi itu
Penuh erti dan menyayukan hatimu
Perlu disambut perjuangan ini

Wahai bangsaku
Mari berjuang
Dalam medan dan ruang
Dengan ikhlas kadar semampunya
Demi bangsa tersayang negara tercinta

Niat ikhlas kerana Allah Taala
Gerak diam daripadanya
Bukan jenaka atau seloka
Gelanggang tempur tak pernah terpadam
Disudut hati mau pun yang nyata
Musuh dikenal
Taulan disayang

Mari berjuang .......
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar

Wa lilla hil ham.....

Nukilan
SuaraSenyap
21.8.2012

HAYATILAH PUISI MELAYU MUDAH LUPA


Tun Mahathir kata "MELAYU MUDAH LUPA".Bahkan ungkapan beliau telah di puisikan dan menjadi puisi keramat untuk orang Melayu.Beliau juga telah mendeklamasikan puisi ini dengan penuh emosi dan benar-benar menyentu hati rakyat Malaysia.Dibawah adalah video yang menunjukkan Tun Mahathir mendeklamasikan puisi tersebut.



MELAYU MUDAH LUPA

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...










































Puisi ini telah menjadi peringatan untuk orang Melayu sedar kelemahan mereka itu iaitu mudah lupa.Tetapi telah jadi alat musuh melayu berusaha dengan lebih giat membuatkan orang Melayu menjadi lupa.Usaha mereka ini kini terang-terang telah dilakukan oleh pihak pembangkang kini.Di antaranya ialah :

1. Cuba memutar belitkan sejarah kemerdekaan tanahair.Mengelirukan rakyat dengan mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang.Pemimpin negara sebagai petualang.Terang-terang Mat Sabu mengangkat pengganas komunis.Menghukum anggota keselamatan sebagai alat penjajah.Ini adalah usaha yang telah mereka lakukan.Cuba melupakan sejarah tanahair serta jasa-jasa orang Melayu terdahulu.

2. Ada pihak yang menunjukkan sikap kurang adab atau durhaka kepada sultan.Turut mengiringi sikap mereka ini jua beberapa individu yang lupa asal usul keturunan Melayunya.Orang Melayu taat dan kasih kepada raja.Sebab itu Jebat dianggap durhaka oleh orang Melayu

3. Sikap berterima kasih orang Melayu kian dicabar.Pembangkang menghasut sebahagian mahasiswa tinjuk perasaan.Minta hapus hutang.Orang Melayu semua tahu hutang wajib dibayar.

4. Orang Melayu dijanjikan dengan pelbagai janji manis.Sedangkan janji belum pasti terlaksana.Sedangkan perlu berterima kasih kepada pemerintah BN yang telah banyak berjasa kepada rakyat.Orang Melayu ramai terpengaruh dengan janji pembangkang yang sepatutnya orang Melayu kena ingat latar belakang pemimpin Melayu itu.Jangan lupa.

5. Orang PAS menghukum orang UMNO kafir.Orang Melayu tak pernah lupa dengan wasiat Hj Hadi itu.Jika redha maknanya kita rela dikafirkan oleh mereka.Ingatlah orang Melayu.Bahawa itulah ungkapan yang sangat zalim yang telah dilemparkan oleh pembangkang.Wajib kita tentang kenyataan itu.Perlu diingat penyokong PAS rata-rata mengimani kenyataan Hj.Hadi itu.Jangan lupa.Sejarah permusuhan umat Islam terdahulu banyak berpunca dari kenyataan menghukum sesuatu puak itu sebagai kafir.

6. Banyak sumbangan dan jasa kerajaan BN dalam memakmurkan negara dan rakyat.Ramai yang mendapat keuntungan samada dalam bidang pelajaran,pekerjaan,kesenangan dan lain-lain lagi.Ucapan terima kasih tak memadai.Sebaliknya rakyat yang menerima keuntungan itu bersama-sama dengan BN membangun dan menjaga negara.Mereka yang membangkang atau merosakkan usaha murni kerajaan patut dipecat.Mereka musuh dalam selimut.Tetapi kerajaan BN amat berlemah lembut dan bertimbang rasa.Mereka ini bagi saya tak layak bekerja atau menerima apa-apa kontrak kerajaan.Ibarat melepaskan anjing tersepit.Orang Melayu ada maruah dan pandai berterima kasih.

7. Golongan agama tak pernah dipinggir oleh pihak kerajaan BN.Banyak keuntungan yang telah mereka perolehi.Berjuta-juta ringgit telah dikeluarkan untuk membantu mereka.Samada bentuk elaun untuk imam-imam atau guru KAFA.Pembangunan sekolah agama dan tahfiz dan lain-lain lagi.Tapi amat malang kerana mereka majoriti tidak menyokong kerajaan.Perlu difaham bahawa sumbangan elaun untuk imam dan guru KAFA adalah bentuk menghargai sumabngan mereka bukan gaji.Tapi kini mereka lebih mata duitan daripada orang awam.Berkempen hukum kerajaan BN dengan kata-kata buruk dan keji.Amat merbahaya apabila golongan agama paling ramai telah lupa siapa yang melantik dan memberi mereka elaun.Perlu ada tindakan yang lebih drasti bagi menangani sikap mereka ini oleh pihak tertentu sebelum mereka menjadi parasit dalam jentera kerajaan dan penghubung dalam masyarakat Islam.Mereka adalah orang Melayu yang lupa dasar Islam yang menuntut mentaati pemimpin dan cinta negara.

8. Orang Melayu patut sedar bahawa Malaysia bermasyarat majmuk.Terdiri daripada pelbagai kaum.Masing-masing bersaing sesama sendiri.Samada dalam bidang pelajaran,pekerjaan dan perniagaan.Bangsa lain telah banyak mencipta pelbagai kejayaan yang istimewa dalam kelompok mereka.Taraf hidup mereka berubah.Orang melayu telah dicop sebagai pemalas orang bangsa lain.Istilah pemalas ini boleh membawa pelbagai sikap-sikap negatif  yang lain.Orang Melayu lupa Tun pernah meniup DASAR PANDANG KE TIMUR satu masa dahulu.Negara yang di ambil contoh ialah Jepun dan Korea.Sebenarnya sikap rajin bekerja itu perlu orang Melayu ingati.

9. Tun Mahathir pernah kata MELAYU BARU.Kemudian turut disambung pula oleh Dato Seri Najib dengan ungkap kata MELAYU GLOKALTahap minda kelas satu yang pernah disarankan oleh Tun Mahathir adalah bagi membawa minda Melayu kehadapan.Tun Mahatahir mempelopori kemajuan teknologi.Mencipta pelbagai kemajuan yang bukan sedikit untuk negara.Tapi kini rakyat Melayu juga menggunakan kemajuan itu merosak dan memburukkan negara.Medan IT telah dijadikan fitnah memburukkan negara.Malaysia adalah negara yang aktif dan pesat dalam penggunaan IT.Tp amat malang rakyat Malaysia dan Melayu ramai pula menggunakan IT untuk fitnah dan burukkan pemimpin negara.Negara lain mata kurang sekali.Mudah-mudahan sikap mereka akan berubah dan lebih kasih sayang dengan penggunaan teknologi baru ini.

10. Walaupun BN telah lama memerintah tetapi pemerintahannya mat sederhana dan mencipta pelbagai kejayaan tersendiri.Terutama dalam memelihara hubungan kaum dan memastikan rancangan kerajaan berjalan dengan teratur.Sikap segelintir pemimpin pemimpin politik kerajaan juga sedikit megecewakan.Kerajna jawatan sanggup jatuh menjatuhkan.tetapi untuk PRU akan datang saya yakin PM akan melakukan yang terbaik.Pilihan calon parti pemerintah adalah pilihan rakyat yang paling disukai dan boleh menang.Mungkin ramai yang akan kecewa.Tetapi jangan lah lupa ada ketika kita naik dan ada ketika kita kena berundur.Tun Mahatir mengotakan kata-katanya,"Berhenti sebelum kenyang".Dan beliau telah meletak jawatan PM kletika ramai orang mengasihi beliau.Jada mana-mana tak tercalun perlu mengambil contoh sikap Tun Mahathir.Insya Allah ... Mudahan  akan ada perubahan yang menarik nanti.

Kesimpulannya daripada sikap lupa yang patut kita ambil perhatian ialah JANGAN LUPA.Masa akan berlalu.Lupa akan merugikan diri dan banyak pihak.Hayatilah puisi Tun dan selami sikap lupa orang Melayu kini.Wallahu a`klam

Sunday, 19 August 2012

AKHIRIAH,NAZARIAH DAN SARAH

Alam kita berbeza                                                                        
Mungkin janggal pada akal dan nyata
Ruang imiginasi dan fantasi
Bersadur realiti bertunjang di hati

Mungkin khayal ini tak dapat bersatu
Walau nafsu impi mahligai kaca itu
Tersemat di hati dan harapan
Mencetus  pelbagai untaian persoalan tanpa jawapan

Bayang mu Akhiriah ....
Bercahaya bukan nur tersembunyi
Ciptalah berpuluh ikatan janji
Namun gelodak logika menembus tabir sepi ini

Untukmu Nazariah ....
Merdu suaramu bukan taranum berganti
Namun rongga belum pasti menyamai
Baradah-baradah yang tersimpul dalam tarian emosi

Maafkan daku Sarah ...
Hampir nyata mimpi dalam mimpi
Namun tangga jejari raut buluh rindu
Belum bersaksi dengan suara
Atau wali yang tak nyata

Kisah lalu cukuplah memadam impian itu
Ratusan tahun telah menentu nyata dunia ini
Burdah kasih beriring tetap berseloka lagi
Namun itu tetap menjadi satu
Yang pasti ....

Bertemu dalam alam mu
Di akhirat jawapan penentu ...
Luas alam ciptaan Ilahi
Tak terhurai dengan pena
Mahu pun goresan hati ini

Cukuplah engkau mengerti
Bahawa puisi ini sebagai saksi
Mungkin sukar dimengerti
Jawapan kesudahan lamunan yang tak terperi

Salam untuk mu ...
Akhiriah,Nazariah.Sarah

Tak mampu direntap taqdir tetapan Azali
Kerana  hati ini masih lagi berpaut ....

Nukilan
SuaraSenyap
20.8.2012

ADA LA SIKIT MALU .....


Dari jauh hati telah merasa ....
Seribu pandangan penuh tanda tanya
Mungkinkah aku sengaja merasa
Mencipta keraguan
Menyalah lirikan mata

Ah .....
Mungkin pakaian ku istimewa
Penuh warna ceria
Bawa bahagia
Riang ria membungar di jiwa

Hahahahaha ....
Hari raya nan bahagia
Dirai semua ummah Islam
Tanda iman kukuh mencengkam
Rai bersama sanak saudara

Tapi mata-mata itu asyik melirik lagi
Dengan senyuman yang penuh makna
Jiwa kian ragu di mana silapnya
Adakah aib terbongkar tak dinyata?

Sangkaan mudah mencipta helah dosa
Putih hati fana segalanya
Patut terima senyum dan tawa
Lirikan mungkin bina sejahtera

Makin kaki melangkah mata-mata itu mengiring langkahku
Rasa hati sembunyi makrifatku
Cuba mencari aib itu
Namun hati gusar tak mungkin silapku

Lirikan mata mulai menyakitkan
Ada yang tak kena dalam himbauan
Mungkin .... mungkin ...

Ada yang tak kena nih...

"Bang lawa kopiah ..."

Aku sedar ....
Malu terpancar di balik senyuman kelatku ...

Istimewa sungguh fesyen baju raya ku ...
Baju melayu bersampin ceria warna
Terpakai skaf isteri bermanik warna warni
Siap ada ekor lagi .....

Aduhhhhh....
Malu tapi selambe

Kikikikikikik.....

Nukilan
SuaraSenyap
20.8.2102

(Berpakaian jaga-jaga.Takut nanti ada yg tak kena.Mata yang melihat nampak.Hati yang merasa kadang-kadang sangkaan semata)

Saturday, 18 August 2012

MEMBELI BELAH BERSIAP NAK RAYA

Gambar hiasan
Dalam kekalutan hidup
Syawal menjelma
Membawa bahagia
Ceria riang ria

Malam raya persiapan terakhir
Mana kuih muih nya?
Dah dibelikah?
Mana baju rayanya?
Dah siapkah?
Mana duit raya dan sampul-sampulnya?
Dah sediakah?
Mana anak cucu kaum kerabat?
Dah sampaikah?

Malam raya manusia sibuk sekali
Penuh tapak-tapak ekspo dangan manusia yang nak mempersiapkan
Esok Syawal
Peniaga tersenyum
Jualan murah .... jualan murah
Betulkah atau auta

Berduyun manusia berkejar membeli
Walaupun waktu dah dinihari
Yang penting dapat apa yang dicari
Riuh rendah sana sini
Eh ..... bunyi mercun pun masuk sekali
Bunga api menghias langit seketika

Malam raya ibu sibuk memasak
Dodol dan rendang belum terhidang
Ayah di mana?
Abang sibuk berjumpa kenalan lama
Adik jaga-jaga

Takbir raya bergema
Di surau masjid medan yang nyata
Esok bersama melangkah kaki menuju kesana

Ah .....
Mata makin ngantuk
Semata-mata mempersiap hari lembaran bahagia

Raya ... raya
Patut dinyata mana yang lebih utama
Membazir kerja sia-sia
Menolak menyambut tanda tiada percaya

Apa yang utama ...
Sederhana syukur  ikhlas kepada YANG KUASA

Nukilan
SuaraSenyap
19.8.2012

BERBUKA TERAKHIR SEORANG IBU ...

Bulan Ramadhan menjelma
Gembirakan hati seorang ibu tua
Puasa dilaksana dengan bahagia
Walau sendiri tanpa teman dan saudara

Jiran tetangga mengubat sepinya
Walau sunyi di teratak usang bagai tak bernyawa
Kenangan lalu terus pergi disudut cahaya
Mungkin sukar mengubah rasa rindu menghiba

Hari ini juadah sederhana
Cucur kodok hidangan sederhana
Membuka selera untuk ibu tua
Namun cukup untuk nya .....

Tapi tangan-tangan durjana tiada belas jiwa
Meronta mengungut meminta segala
Dijerut leher
Diikat ibu tua di tiang rumah sepi itu
Apakah mereka tak ingat balasannya?

Ibu tua menangis mohon belas
Namun algojo berhati syaitan tiada rasa
Harta benda telah menghasut jiwa
Ganas menjerut leher ibu tua....

Dan ....
Ibu tua tak bermaya
Nafas terakhir ....
Cucur kodok berbuka puasa
Masih di mulutnya ....


Nukilan
SuaraSenyap
19.8.2012

(Puisi ini diolah bagi mengenang seorang ibu tua yang telah dibunuh ketika berbuka puasa beberapa tahun lalu.Al Fatehah buat beliau.Amin .... )

Friday, 17 August 2012

MERCUN RAYA

Adik suka main mercun
Ada api ada cahaya
Ada bunyi ....  
Meletup ...
Kaaaaaboooommmmm.....

Mak terkejut
Nenek melatah
Ayah pun tak kisah

Mercun ada dijual
Walau dilarang ....
Tetap mudah merata -rata
Pasar Ramadhan pun ada

Kaaaaa bommmmm ...
Adik tak sedar tangan berdarah
Pedih terasa hati menahan
Mak mengelabah
Ayah gelisah
Sakit nya ....
Adik pasrah

Abang yang buang mercun tu kat adik
Sesal menjelma sesudah terjadi
Tangan adik punah
Sakit ....
Gelisah ...
Tapi ayah baru nak marah

Adik sakit ...
Ayah kenapa marah?
Tangan ayah tak luka parah
Ayah tak sayang adikkah?

Atuk bersyarah
Mercun itu tiada sunnah
Meniru kafir amat ditegah
Meletup membakar membazir sudah
Kenang saudara  di medan berhelah

Hancur tubuh mangsa gelodak jiwa yang tak mengalah
Akibat rasa menaruh cerita
Janji palsu nyata berlaku
Kenapa susah yang diburu?
Adakah mimpi harus kau pandu?

Mungkin benar kata atuk
Adik mungkin lupa atau tak tahu

Aduh ....
Sakitnya masih berdenyut
Di ruang hati ... hati .... hati ... ini

Ayah kan tahu api tu kan bahaya
Kenapa biarkan terjadi jua .......

Nukilan
SuaraSenyap
18.8.2012

(Bermain mercun membahayakan diri anda dan anak-anak.Sesudah berlaku kemalangan tak ada maknanya)

SUARA RINDU IBU ...

Anak .....
Kau nak balik raya ni?  
Mak rindu kamu
Mak sangat-sangat rindu

Anak ....
Mak tunggu kamu
Mak nak masak istimewa untuk mu
Mak nak peluk kamu
Mak nak peluk cucu-cucu

Anak ...
Mak anak ajak kau ke kubur
Lepas solat kita ziarah maqam sepi itu
Seketika hati menjengah matinya

Anak ....
Mak nak ajak ziarah saudara
Kerabat jiran tetangga
Erat ukhuwah silaturrahim

Anak ...
Mak nak ajak makan bersama
Syukur nikmat kepada empunya
Luas anugerah pemberian
Milik tuhan segalanya

Anak ...
Mak penat di hari raya
Mak nak rehat
Mak memang sayang kamu,menantu dan cucu cucu

Tapi hati mak terguris lagi ....
Mak tahu
Mungkin kau tak perasan

Mmmmmm....
Kau akan tahu jua bila kau jadi macam mak

Nukilan
SuaraSenyap
17.82012

(gembirakanlah hati ibubapa tika berziarah mereka di hariraya.Jangan lukakan hati mereka.Tak kira samada ibubapa anda masih hidup atau sudah meninggal dunia)

Thursday, 16 August 2012

RAYA ...


Bila raya nak dekat ...        
Ada bonus raya
Ada belanja raya
Ada hutang raya
Ada baju raya
Aka kad raya
Ada duit raya
Ada sampul raya
Ada kuih raya
Ada ketupat raya
Ada rendang raya
Ada lagu raya
Ada jalan raya
Ada balai raya
Ada ziarah raya
Ada rumah terbuka raya
Ada kenduri raya
Ada dating raya
Ada cinta raya
Ada bertunang
Ada kawin raya
Ada drama raya
Ada perhimpuan keluarga raya
Ada tawa ria
Ada hadiah raya
Ada tirai raya
Ada kereta raya
Ada motor raya
Ada basikal raya
Ada rumah raya
Ada hotel raya
Ada pasaraya raya
Ada kedai raya
Ada takbir raya
Ada solat sunat raya
Ada mercun raya
Ada malang raya
Ada mati raya
Ada duka raya
Ada tak balik raya
Ada suka raya
Ada berkelahi raya
Ada sedekah raya
Ada membazir raya
Ada bakhil raya
Ada sombong raya
Ada di tv je raya
Ada tidur raya
Ada cuti raya
Ada kerja raya
Ada tipu raya
Ada terkena raya
Ada pekena raya
Ada tak raya
Ada asyik raya
Ada tak mau raya
Ada puasa raya?

Ada sehari raya
Ada seminggu raya
Ada seminggu baru raya
Ada sebulan raya
Ada setahun raya
Ada selalu raya

Tengok anak bulan pun raya
Tak nampak anak bulan lusa raya
Raya .....raya
Jangan jadi hantu raya ya..

Nukilan
SuaraSenyap
17.8.2012

KUBUR ITU ...


Kubur itu ....
Milik siapa?
Hanya dalam beberapa hari lagi
Akan diziarahi

Mungkin anak menantu
Mungkin cucu cicit
Mungkin sahabat handai
Mungkin .....

Bila fajar Aidil Fitri menjelma
Kubur ini menanti kehadiranmu
Menanti sekudus doa dan harapan
Mengharap ingatan kenangan yang tak pernah putus

Kubur ini bukan sekadar menanti dibersihkan
Rumput-rumput halus bukan impian
Batu nesan tak perlu kau usapkan
Airmata jauh sekali untuk disiramkan
Bunga mawar tak mungkin mengharum di hatinya
Kuntum kasih penawar kerinduan
Doa tahlil menanti dihadiahkan
Cinta sejati pengukuh janji

Oh .... mungkin kau teralpa
Kubur itu pernah berkongsi tawa dan ria
Mengepil cinta dan harapan
Membina seribu impian yang tak tertunai
Menggenggan erat jejarimu
Menbelai jantung hati yang disayang

Jangan kau lupa ......
Rindunya kepada mu tak mampu kau tandingi
Hilangkan sombongmu dek rakus dunia
Durhaka bukan semata tika pemilik kubur ini masih ada
Tetap kekal sampai bila-bila

Kubur ini sepi dan sunyi
Mungkin Syawal menjelma terpamir seri
Ikhlaskah hati yang menziarahi?
Atau sekadar mengisi .....
Masa-masa tertipu kerana duniawi

Kubur itu sedang menanti
Dirimu dan diriku ...
Untuk dia dakapi
Seribu kerinduan
Yang tentunya
Kau tak pernah mengerti .....

Nukilan SuaraSenyap
17.8.2012

(Kenangkan arwah ibubapamu atau insan yang pernah kau sayangi dan cintai.Pagi Syawal, luangkan masa bersama mereka)