Labels

Saturday 14 July 2012

TANGAN IBU BERURAT ...



Tangan ibu dah berurat
Telah lama usia menjengah
Pelbagai pahit getir dirasa
Gugur titik airmata
Gembira bahagia
Hujung mahkota mungkin dijamah
Onak duri luka mencacah
Perit getir menggetar nadi
Tangan ibu yang berurat itulah yang menjamah

Tangan itu jualah yang pernah memapah
Tubuh kecil bertatih
Menyuap butir-butir rezeki anak itu
Mengusap lembut kasih sayang
Mencengkam hujung saprah permaidani kehidupan
Menyapu tangisan dara kecewa
Menekan ulu jantung pemuda malang
Memangku tanah hamparan dunia

Tangan berurat itu jua
Menadah tangan mohon sentosa anaknya
Olesan lembut harapan dan harapan
Tulus bukan bererti makna
Munajat hingga bengkak kakinya
Di atas sejadah kusam semalam
Penuh darah tempat sujudnya

Bukanlah tangan berurat itu tanda kecewa
Melainkan jasa permata delima

Kenapa kau tak jamah tangan berurat itu?
Sayang.....
Tapak tangannya kau tak cium dan kucup
Penuh kalimah dan juga barakah
Kesan hujan bercampur darah masih bersisa

Tuangkan setitik air kautsar ...
Hiruplah nikmat tangan berurat itu

Tangan ... tangan ... tangan ...
Ibu tua yang telah kau lupa
Kerana tangan kau jua akan ....
Berurat ...

(Kumohon doa untuk semua ibu-ibu yang berjasa.Semoga sejahtera dan mendapat keampunan dunia akhirat)

Nukilan : SuaraSenyap
15.7.2012


No comments:

Post a Comment